• Madrasah Hashimiah dan Sumbangan Orang Ramai


    08 Januari 2017 - Alhamdulillah, baru-baru ini, ramai para penderma dan sukarelawan telah datang melawat Madrasah Hashimiah. Pengalaman mereka banyak dikongsi di laman sosial seperti Facebook. Hasilnya, ramai lagi telah menghubungi madrasah untuk menyumbang, membantu serta mendapatkan kepastian mengenai maklumat tersebut.

    Berikut adalah informasi tentang Madrasah Hashimiah

    MADRASAH HASHIMIAH:

    Madrasah Hashimiah Tahfiz Al-Quran & Anak Yatim ini merupakan sekolah komuniti bagi anak-anak pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim. Madrasah ini menyediakan tempat tinggal bagi yang memerlukan serta menyediakan kelas-kelas pembelajaran agama dan akademik. Antaranya ialah kelas pembelajaran Tahfiz, Iqra, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Myanmar, Matematik, Sains dan Kelas Komputer.

    PELAJAR:

    Buat masa ini, Madrasah Hashimiah mempunyai 171 pelajar (lelaki dan perempuan). 60 daripadanya (lelaki sahaja), menetap  madrasah. Kebanyakkan penghuni disini adalah pelarian. Sebahagiannya datang dari keluarga yang susah malah ada yang merupakan anak yatim.

    JADUAL:

    Jadual harian madrasah adalah seperti berikut:
    ·         Solat subuh disertai dengan bacaan Surah Yaasin selepasnya
    ·         7.30am - 8.30 am       Sarapan dan bersiap sedia untuk belajar
    ·         8.30am - 11.30am      Kelas pagi
    ·         11.30am - 1.30pm      Makan tengahari, kemudian rehat/tidur sebentar
    ·         1.30pm - 2.00pm        Solat Zohor
    ·         2.00pm - 4.30pm        Kelas petang
    ·         4.30pm - 5.30pm        Solat Asar dan makan malam
    ·         5.30pm - 7.00pm        Aktiviti bebas
    ·         7.00pm - 9.30pm        Solat Maghrib, mentelaah pelajaran dan solat Isya’
    ·         9.30pm - 10.30pm      Aktiviti bebas
    ·         10.30pm                      Tidur

    RUANG:

    Madrasah Hashimiah menyewa 3 tingkat di bangunan rumah kedai yang terletak di Komplek Pasar Borong di Selayang.
    Tingkat 1 digunakan untuk kelas pembelajaran, stor dan juga merupakan tempat tinggal guru-guru yang mempunyai keluarga.
    Tingkat 2 digunakan untuk kelas pembelajaran, tempat solat dan tempat tidur. Pejabat madrasah juga terletak disini.
    Tingkat 3 digunakan untuk kelas pembelajaran, tempat makan dan tempat tidur. Dapur dan stor makanan juga terletak disini.

    KATIL, TILAM & TOTO:

    Setiap tingkat di madrasah digunakan untuk pelbagai keperluan (multi-purpose) disebabkan ruang yang terhad. Buat masa ini, para penghuni madrasah tidak tidur di atas katil. Toto dan tilam juga tidak dapat digunakan disini kerana selain masalah ruang untuk menyimpan, toto dan tilam juga sangat sukar dibasuh dan dijemur. Pihak kami ucapkan terima kasih kepada para penderma yang perihatin, dan ada yang berhajat untuk menyumbang katil mahupun tilam dan toto. Cuma buat masa ini kami tidak dapat menerima sumbangan tersebut atas faktor ruang yang amat terhad.

    Para pelajar menggunakan hamparan nipis/selimut sebagai alas tidur ketika malam. Ketika tidur siang, sebahagian pelajar tidak menggunakan hamparan kerana panas. InsyaAllah di masa akan datang, apabila ada ruang yang lebih selesa, penggunaan katil atau tilam dan toto dapat digunakan untuk keselesaan penghuni madrasah.

    Buat yang pernah menyumbang dan membantu secara langsung dan tidak langsung, pihak kami ucapkan jutaan terima kasih. Hanya doa sahaja yang dapat kami sampaikan untuk kalian semua dan semoga semua yang terlibat mendapat kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan mendapat limpahan hidayah dariNya, insyaAllah.

    Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Madrasah Hashimiah atau keperluan yang diperlukan oleh Madrasah Hashimiah, bolehlah merujuk:

    1.    http://hashimiah.blogspot.com/
    2.    https://www.facebook.com/hashimiah

    atau menghubungi terus pejabat madrasah di 03-6127 5582.