• Dari PKP ke PKPD di Kawasan Madrasah Hashimiah



    Bermula malam tadi, seluruh kawasan pasar borong ditutup untuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Saya terima panggilan Ustaz Hashim, pengetua Madrasah Hashimiah bahawa semua jalan masuk ke pasar borong sudah tutup.

    Saya sudah menjangka ini akan berlaku. Kemungkinan kerana jumlah pesakit yang sah positif Covid-19 atau disebabkan kesukaran untuk mendapatkan komuniti pelarian supaya disaring. Namun begitu di Madrasah Hashimiah, kami sudah menasihati komuniti pelarian supaya pergi lakukan saringan Covid-19 menggunakan medium Whatsapp dan juga Facebook Madrasah Hashimiah.

    kawasan belakang Madrasah Hashimiah sudah naik pagar berkawat


    Kerisauan komuniti pelarian ini tertakluk kepada dua perkara utama. Pertama sekali kos sekiranya mereka terpaksa dimasukkan ke hospital. Dan kedua tentang keselamatan mereka. Sudah ada kedengaran ura-ura dimana komuniti pelarian ini telah "dipow" oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak mempunyai dokumen yang sah semasa mereka hendak pergi melakukan saringan.

    Alhamdulillah anak-anak di Madrasah Hashimiah sudah dua kali lakukan saringan. Pertama di Klinik Kesihatan Jinjang dan kedua dilakukan di premis Madrasah Hashimiah sendiri. Kedua-dua saringan mendapati semua murid dan guru Madrasah Hashimiah termasuk pengetua dan pengerusi adalah negatif.

    Makanan yang ditaja oleh oleh mereka yang prihatin

    Makanan perlu dimasak sendiri menggunakan bekalan yang ada di Madrasah Hashimiah pada waktu PKPD
    Sejak bermulanya PKP, BeKind Malaysia, Rumah Al Haq dan penderma individu mula menghantar bantuan pek makanan tengahari dan malam ke Madrasah Hashimiah. Setakat ini terdapat 30 orang anak-anak yatim dan guru di Madrasah Hashimiah. Cuma bermula hari ini bantuan pek makanan terpaksa diberhentikan buat sementara waktu dan warga penghuni Madrasah Hashimiah perlu menggunakan bekalan makanan yang sedia ada di asrama dahulu. Perlu banyak berjimat cermat sekarang.

    Pengumuman PKPD yang sangat hampir dengan ketibaan Ramadhan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada Madrasah Hashimiah. Semoga wabak Covid-19 ini terus reda dan kesusahan yang dialami diringakan buat semua insyaAllah.

    solat berjalan seperti biasa hanya untuk penghuni madrasah

    rutin harian membaca Yasin selepas Subuh, surah Ar Rahman selepas Asar dan Surah Al Mulk selepas Maghrib
    Jika ada yang ingin menyumbang untuk anak-anak yatim dan pelarian di Madrasah Hashimiah, boleh lakukan terus ke akaun rasmi Madrasah Hashimiah di 

    Maybank: 562151419729
    CIMB: 8600202864
    Bank Islam: 14069010033413
    Remark: Ramadhan

    Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi pejabat di 0182882754 atau Whatsapp terus di http://www.wasap.my/+60182882754

    Semoga bertambah rezeki dan tercapai hajat semua dermawan yang baik hati. Moga Ramadhan tahun ini lebih bermakna.

    Muhammad bin Kamarulazizi
    Pengerusi
    Madrasah Hashimiah