• Sejarah Penubuhan Madrasah Hashimiah

    Ustaz al-Hafiz Hashim Bersama Muhammad bin Kamarulazizi, Pengasas Kindness Malaysia
    Ustaz al-Hafiz Hashim bin. Kassim menamatkan pengajian beliau di sebuah madrasah di Myanmar dan seterusnya merantau di Thailand selama beberapa tahun sebelum berhijrah ke Malaysia.

    Bermulanya perjalanan sejarah usaha Ustaz al-Hafiz Hashim b. Kassim mendirikan sekolah anak-anak yatim ini di Selayang pada tahun 1994. Pada waktu itu Ustaz Hashim bekerja sebagai penolak sayur di Pasar Besar Borong Baru Selayang selama 3 tahun.

    Ustaz Hashim kurang senang melihat anak-anak bangsanya yang tak terurus dan kurangnya pendidikan asas. Apabila ditanya, mereka memberitahu bahawa tidak ada guru mahupun ustaz atau ustazah yang sanggup mengajar mereka. Malahan Ustaz Hashim perhatikan ramai yang berkeliaran tanpa haluan malah ada yang mencuri, bergaduh dan sebagainya.

    Pada ketika itulah Ustaz Hashim membuat keputusan menawarkan khidmat mengajar Iqra dan Al-Quran secara percuma, bermula dengan anak-anak kecil seramai empat sekitar usia 7-8 tahun.

    Pembelajaran mereka bermula daripada jam 9am-10am, setiap hari. Setelah 6 bulan kanak-kanak pengajian Iqra bertambah lagi seramai 5 orang, dan  dalam tempoh setahun pelajar Ustaz Hashim meningkat kepada 15 orang.

    Di sekitar tahun 1997, usaha Ustaz Hashim berterusan sehingga jumlah pelajarnya menjadi seramai 30 orang. Apabila pelajar-pelajar semakin ramai maka waktu pembelajaran mereka ditambah kepada 10am-12pm dan 6pm-8pm. Pada masa itu Ustaz Hashim hanya menggunakan bilik sewanya untuk mengajar mereka.

    Ustaz Hashim kemudiannya membuat keputusan untuk berhenti kerja demi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengajar anak-anak bangsanya. Setelah beberapa ketika, Ustaz Hashim menyewa bilik yang lebih besar sedikit bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah. Lingkungan usia pelajar-pelajarnya pada masa ini adalah sekitar 8-13 tahun. Ustaz Hashim juga memulakan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung kos sara hidup serta perbelanjaan Madrasah Hashimiah.

    Pada tahun 2001, Ustaz Hashim menggajikan seorang guru bagi membantunya menguruskan Madrasah Hashimiah. Pada tahun 2004, jumlah pelajar Ustaz Hashim meningkat kepada 70 orang dan guru bertambah kepada 3 orang. Pada ketika ini, United Nation High Commisioner for Refugees (UNHCR) mula memberi perhatian kepada perjuangan Ustaz Hashim. Melaluinya, beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah diperkenalkan kepada Madrasah Hashimiah.

    Pada sekitar 2013, Kindness Malaysia, sebuah NGO telah melibatkan diri dengan perkembangan Madrasah Hashimiah. Dengan bantuan Kindness Malaysia, Madrasah Hashimiah sekarang mempunyai sebuah pejabat untuk sebarang urusan rasmi. Kindness Malaysia juga menguruskan laman web Madrasah Hashimiah (hashimiah.blogspot.com) supaya orang awam dapat mendapatkan maklumat mengenai madrasah ini. Madrasah Hashimiah juga diperkenalkan kepada orang awam melalui media sosial Facebook (www.facebook.com/hashimiah).

    Pada tahun 2010, 2012 dan 2014, Madrasah Hashimiah telah menyertai Musabaqah Tilawah Al-Quran Antara Rumah-rumah Kebajikan Selangor anjuran Rumah Kebajikan Siti Khadijah. Adik Anwar Shah, pelajar hafiz didikan Ustaz Hashim, telah muncul Johan Qari selama 3 kali berturut-turut. Malah pada tahun 2014, adik Bibi Aisah juga muncul sebagai Naib Johan Qariah.

    Kini, pada tahun 2015, Madrasah Hashimiah menempatkan kira-kira 180 orang pelajar (50 daripadanya menetap di dalam madrasah) dan 15 orang tenaga pengajar. Antara subjek yang diajar disini adalah Hafazan Al-Quran, Iqra’, Bahasa Malaysia, Bahasa Myanmar, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kelas Komputer.

    Dengan bertambahnya jumlah pelajar dan guru, Madrasah Hashimiah menampung beban kos yang tinggi dalam usaha untuk terus beroperasi dengan lancar. Tambahan pula, kos bahan mentah yang semakin meningkat menyukarkan lagi usaha ini.

    Alhamdulillah, terdapat beberapa pihak yang sering menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit demi membantu Madrasah Hashimiah untuk terus beroperasi. Akan tetapi jumlah bantuan kewangan yang diterima masih kurang mencukupi berbanding dengan keperluan masakini Madrasah Hashimiah.


    Oleh yang demikian, Madrasah Hashimiah menyambut baik usaha mana-mana pihak yang ingin membantu Madrasah Hashimiah dari segi kewangan atau pun dalam hal-hal lain.