• Ucapan Hari Raya Aidilfitri Dari Pengetua Madrasah Hashimiah



    Assalamualaikum wbt,

    Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Berkuasa Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya dan kita sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri. Aidilfitri, bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan. Ia juga disebut sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita seharus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia.  

    Alhamdulillah dengan IzinNya, terdapat banyak tajaan dan sumbangan yang diterima di Madrasah Hashimiah. Pada peringkat awal Madrasah ini tidak dikenali umum ia telah ditubuhkan pada tahun 1997 dengan 3 orang murid sahaja pada ketika itu. Alhamdulillah kini dengan bantuan dan tajaan semua pihak Madarasah ini dapat diuruskan dengan baik serta pertambahan bilangan pelajar seramai 170 orang  dan 50 darinya menetap di asrama berhampiran dengan Madarasah.

    Ini menunjukkan bahawa perubahan yang berlaku adalah berkat bantuan dan keprihatinan orang ramai. Dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada semua penaja, NGO, sukarelawan, dermawan dan individu perseorangan yang budiman dan baik hati, yang tidak putus-putus memberikan bantuan sama ada dari segi kewangan dan juga juadah berbuka puasa. Dengan bantuan kalian anak-anak di Madarasah ini dapat menikmati pelbagai jenis juadah berbuka yang lazat, yang mana jarang sekali mereka dapat pada bulan yang lain.
    Sesungguhnya sumbangan kalian amat bermakna buat kami, bagi bersama-sama meraikan anak-anak di Madarasah untuk berbuka puasa dan juga menyambut Hari Raya AidilFitri. 

    Sekalung ucapan terima kasih juga saya ucapkan khas buat sukarelawan Kindness Malaysia yang sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk kebajikan, bagi meringankan beban warga Madrasah Hashimiah. Segala perancangan, urusan pejabat diaturkan oleh sukarelawan  Kindness Malaysia.

    Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda " Sesiapa yang bersedekah walaupun sebesar tamar daripada harta yang halal, Maka Allah akan menyuburkannya sebagaimana kamu menjaga dan membela anak kuda sehingga sedekah itu menjadi subur membesar  menjadi seumpama gunung."

    Dalam sebuah hadith yang lain dinyatakan bahawa jika seseorang menginfaqkan sebijii tamar dijalan Allah ,maka Allah akan membesarkan ganjarannya sehingga menjadi lebih besar daripada gunung Uhud.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud," Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun." (Hadis At Tirmidzi)

    Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain.

    Untuk makluman juga penaja dan dermawan di Madarasah Hashimiah ini terdiri dari berbilang bangsa dan agama. Hal ini juga secara tidak langsung merapatkan lagi silaturahim bagi menguatkan lagi semangat pepaduan di sesama NGO dan sukarelawan serta dermawan.  Mudahan-mudahan dengan komitmen yang padu semua pihak tanpa mengira kaum dan agama  akan dapat menjadi pengerak dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan. 

    Alhamdulillah, segala sumbangan dan tajaan yang diberikan sepanjang bulan Ramadan ia akan digunakan untuk perbelajaan sepanjang tahun di Madarasah Hashimiah. Saya berharap amalan-amalan baik ini akan dapat diteruskan dan menjadi amalan kita setiap masa.  
    Semoga dengan kehadiran Aidilfitri pada kali ini kita diberikan kesempatan saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin serta menyambut hari lebaran bersama-sama keluarga tersayang.

    Saya dengan rendah diri sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak yang terlibat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Di kesempatan ini juga saya mewakili pelajar dan warga kerja Madarasah Hashimiah  mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin dan berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung halaman. Semoga selamat sampai ke destinasi yang ditujui.

    Orang yang paling mulia adalah orang yang memaafkan kesalahan orang lain, bersihkan diri, sucikan hati di Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

    Berbaju kurung kainnya Satin,
    Untuk beraya rumah Salmiah,
    Mohon Maaf Zahir dan Batin,
    Dari kami Madrasah Hasimiah.

    Ke Masjid India mencari Meja,
    Untuk diguna di Hari Raya,
    Terima kasih semua penaja,
    Mudah-mudah bertambah rezekinya.

    Ustaz Al Hafiz Hashim bin Kassim
    Pengasas merangkap Pengetua
    Madrasah Hashimiah Tahfiz Al Quran dan Anak Yatim

    Ucapan diolah oleh sukarelawan Kindness Malaysia