• Bacaan Yasin dan Jamuan Makan di Restoran Sari Ratu Citta Mall

    Inilah bakti yang disumbangkan kanak-kanak madrasah kepada penderma


    Madrasah Hashimiah bukan sahaja bertindak sebagai pusat perlindungan dan sekolah kepada anak-anak yatim, Myanmar Muslim, dan pelarian Rohingya. Malah bertindak sebagai satu pusat untuk masyarakat setempat berbakti dan memanfaatkan golongan mereka sebaik mungkin seperti menjemput mereka menghadiri majlis kenduri, bacaan Yaassin, dan juga solat hajat kerana kanak-kanak yang berada di Madrasah Hashimiah adalah golongan yang cukup istimewa di sisi agama Islam. Istimewa yang dimaksudkan ialah kebanyakan mereka adalah golongan anak yatim, miskin, dan merupakan pelajar tahfiz yang mendalami kitab Allah. Mereka selalunya memenuhi permintaan masyarakat sekitar dengan membaca Yaassin dan kemudiannya diberikan sedekah sama ada berbentuk kewangan ataupun jamuan makan. Inilah yang seharusnya berlaku di kalangan masyarakat majmuk yang mana kedua-dua pihak saling membantu.

    Bacaan Yaassin daripada kanak-kanak madrasah hashimiah

    Pelbagai hidangan yang disediakan untuk mereka

    Hidangan minang yang disajikan
    Kak Syaz bersama kanak-kanak madrasah yang gembira menikmati hidangan

    Pada 3 September yang lepas, golongan yang cukup istimewa ini menerima satu pelawaan oleh salah seorang penderma tetap yang menjemput mereka untuk bacaan Yaassin dan jamuan makan di Restoran Sari Ratu Citta Mall. Bacaan Yaassin ini dibaca sendiri oleh kanak-kanak tahfiz dan disedekahkan bacaan Yaassin tersebut kepada penderma. Sebagai hadiah dan penghargaan kepada kanak-kanak tahfiz yang membacakan surah Yaassin tersebut, mereka dijamukan dengan makanan yang cukup istimewa iaitu makanan Minang. Terpancar di raut wajah kanak-kanak ini satu kegembiraan yang cukup menyerlah yang bersyukur dengan pemberian ilahi. Tidak cukup dengan kegembiraan nikmat yang diperoleh, mereka disajikan dengan menu kambing golek yang cukup lazat. Allah pasti akan membantu kanak-kanak ini dan mengelakkan mereka dari sebarang musibah. Begitulah juga kepada mereka yang membantu kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan bantuan ini, Allah pasti akan membantu mereka kerana Allah akan memberikan ganjaran kepada mereka yang membantu dan berkorban di atas agama Allah.

    Selepas aktiviti bacaan Yaassin dan jamuan makan berlangsung, kanak-kanak ini dihantar pulang ke madrasah mereka kerana itulah rumah mereka dan itulah tempat mereka memperoleh kasih sayang. Terima kasih kepada mereka yang memberi bantuan dan mereka yang bersedekah kepada golongan yang memerlukan ini. Jemputan bacaan Yaassin dan jamuan makan di Restoran Sari Ratu Citta Mall adalah  pelawaan daripada Kak Syaz selaku penderma tetap yang menjemput khas hanya untuk mereka. Terima kasih kerana sudi memberikan kebahagiaan dan kenikmatan kepada mereka selain memberi peluang kepada mereka untuk berbakti kepada Kak Syaz. Itulah Madrasah Hashimiah yang mempunyai salah seorang keluarga yang cukup penyayang dan cukup mengambil berat tentang mereka. Bantulah kanak-kanak di Madrasah Hashimiah, In Shaa Allah akan datangnya bantuan daripada Allah untuk mereka yang membantu kanak-kanak ini.


    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah