Pengalaman Hari Pertama Praktikal di Madrasah Hashimiah
bersama staf Madrasah Hashimiah
Madrasah Hashimiah Tahfiz Al-Quran dan Anak
Yatim merupakan sebuah institusi yang memberikan peluang kepada kanak-kanak
yang berstatus pelarian daripada Rohingya dan Myanmar Muslim untuk mendapatkan
ilmu kerana mereka tidak berpeluang untuk bersekolah di sekolah harian biasa.
Mereka hanya boleh ke sekolah komuniti seperti madrasah ini untuk mendapatkan
ilmu. Madrasah ini bukan sahaja menawarkan silibus pembelajaran standard
seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan komputer, malah
mereka menawarkan pembelajaran bahasa ibunda mereka iaitu Bahasa Myanmar dan
tambahan lagi di tawarkan dengan Pengajian Al-Quran dan Alim iaitu tauhid,
feqah, dan lain-lain lagi. Silibus ini akan membantu kanak-kanak tersebut
mempunyai ilmu yang mencukupi dan mempunyai bekal iman yang boleh membawa
kepada kekuatan dalaman di dalam diri mereka bagi menghadapi kehidupan di masa akan
datang kelak.
Memandang manusia secara sama rata tanpa mengira
kaum dan bangsa, itulah yang diajarkan oleh Al-Quran dan Kerja Sosial kepada
para pelajarnya. Ramai pelajar universiti yang datang ke sini untuk membantu
mereka dengan menjalankan program yang sesuai malah ada yang membuat praktikal
di sini untuk mendapatkan ilmu yang lebih mendalam di samping dapat membantu
dan meringankan beban mereka. Inilah yang menyebabkan saya yang merupakan
seorang pelajar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dari jurusan Sarjana
Kerja Sosial Perubatan melakukan praktikal di institusi ini kerana mereka juga
adalah hamba Allah yang memerlukan pertolongan dan kasih sayang daripada hamba
Allah yang lain.
Hari pertama ketika saya datang untuk lapor diri
di madrasah ini, saya di sambut baik oleh para ustaz dan ustazah juga
murid-murid di madrasah ini. Layanan mesra daripada staf madrasah ini juga
membuatkan saya sangat selesa untuk berada di sini yang membuatkan saya tidak
berasa terasing apabila bersama mereka. Saya di
bawa berjalan untuk melihat persekitaran madrasah ini bermula dari
tingkat bawah yang menempatkan kanak-kanak yang baru belajar membaca Al-Quran
sehinggalah ke bahagian atas yang menempatkan para tahfiz. Persekitaran
pembelajaran mereka juga merupakan tempat tinggal mereka dan kawasan ini
ternyata lebih kemas dan teratur daripada yang dijangkakan. Persekitaran yang
bersih dan kemas akan lebih memudahkan mereka untuk belajar malah dapat
mendisiplinkan mereka dari segi kebersihan.
Kelas Bahasa Myanmar
Osman yang merupakan salah seorang staf di sini
yang berbangsa Myanmar membantu saya dari segi pendedahan kepada persekitaran
dan juga teknikal. Walaupun saya berada di persekitaran yang berbeza kerana
institusi ini menempatkan pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim, namun saya tidak
merasakan saya berada di tempat yang berbeza dan tidak terasing daripada
mereka. Inilah yang dikatakan sosialisasi dan interaksi yang sepatutnya berlaku
dalam kelompok masyarakat. Diterima oleh masyarakat adalah sesuatu yang sangat
diharapkan oleh mereka kerana mereka juga kelompok manusia yang berharap di
terima oleh masyarakat. Saya juga dibantu oleh En. Muhammad yang merupakan
pengerusi kepada Madrasah Hashimiah ini dan beliau menyatakan kepada saya
mengenai keperluan kepada kanak-kanak ini dan juga harapan beliau terhadap
kanak-kanak pelarian ini. Saya juga berbincang dengan beliau mengenai aktiviti
dan program yang saya boleh jalankan di sini dan apa yang saya harapkan juga
saya perolehi di sini.
Kemesraan yang ditunjukkan mereka semasa hari pertama
Pertukaran ilmu adalah sesuatu yang saya
harapkan daripada madrasah ini dan saya sudah memperolehinya pada hari pertama
saya berada di sini iaitu bagaimana untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak di
sini dan juga layanan mereka terhadap tetamu yang saya katakan sebagai
kemasyarakatan dan penerimaan. Saya mengharapkan sesuatu setiap hari apabila
saya berada di sini dan merupakan sesuatu yang saya boleh serap dan pelajari.
Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
Pelajar Praktikal UKM
Madrasah Hashimiah