• Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris Menjadi Perantara Antara Mereka Dengan Kita


    Bahasa adalah antara masalah yang menjadi halangan kepada warga Myanmar di Malaysia untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat. Sebagai usaha madrasah untuk mengatasi masalah tersebut, mereka mengajar kanak-kanak yang menuntut ilmu di madrasah ini belajar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Bahasa Myanmar diajar kepada mereka supaya mereka tidak lupa akan asal usul mereka. Buat masa sekarang, kanak-kanak ini diajar Bahasa Malaysia bermula dari asas komunikasi untuk memudahkan mereka bercakap dan menyoal perkara-perkara yang mereka tidak tahu. Walaupun kaedah pembelajaran Bahasa Malaysia tidaklah seperti sekolah kerajaan namun cukup untuk membekalkan mereka pengetahuan untuk mereka bertutur dalam Bahasa Malaysia.

    Para pelajar sedang menumpukan perhatian
    Selain kelas Bahasa Malaysia, kelas Bahasa Inggeris juga ditekankan dalam pengajian mereka kerana kebanyakan mereka juga mempunyai pengetahuan dalam bahasa tersebut. Dalam kelas Bahasa Inggeris ini, mereka diajar dengan tegas oleh seorang guru perempuan iaitu guru sekolah kerajaan yang secara sukarela mahu mengajar mereka. Lihatlah bagaimana jiwa seorang guru yang mahu mendidik tidak kira bangsa. Saya sempat bertanya kepada salah seorang kanak-kanak perasaan mereka diajar oleh guru tersebut dan kanak-kanak tersebut menyatakan guru tersebut garang namun seronok menghadiri kelas tersebut. Garang seorang guru yang mahu mendidik kanak-kanak pasti boleh diterima oleh anak muridnya. Itulah jiwa seorang guru yang sebenar.

    Hidangan yang dimakan mereka setiap hari tidaklah mewah namun cukup untuk mengisi perut kanak-kanak di madrasah ini. Sekali-sekala mereka dapat merasa juga makanan yang dikira agak mewah sedikit apabila ada yang memberi sedekah dengan memberikan makanan seperti KFC dan juga Pizza Hut. Namun makanan tersebut agak jarang-jarang diberikan kepada mereka. Tengahari ini, saya melihat kentang gorang dalam menu makanan tengahari mereka dan Osman menyatakan bahawa kentang goreng tersebut diberikan oleh mereka yang memberikan derma berbentuk bahan mentah. Kentang goreng yang dihidangkan dapat menceriakan muka kanak-kanak ini walaupun hanya sedikit namun memadai untuk mereka. 

    Terima kasih kepada penderma yang baik hati, moga Allah membantu mereka dan memurahkan rezeki mereka. Bagi mereka yang bermurah hati dan berminat untuk memberikan derma bolehlah terus ke Madrasah Hashimiah. Selain itu, sumbangan boleh dilakukan melalui bentuk kewangan di CIMB Bank, Nombor akaun - 8600202864 (Madrasah Hashimiah) atau pun bahan mentah di alamat Madrasah Hashimiah, Tahfiz Al-Quran & Anak Yatim, No. 111-3, Kompleks Pasar Borong, Jalan 2/3A, KM12, Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur. Ataupun boleh hubungi Pengetua Madrasah Hashimiah iaitu Ustaz Hashim Bin Kassim di talian 019-262 1671.

    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah