Menulis
laporan di dalam blog Madrasah Hashimiah adalah rutin harian semasa datang ke
pejabat untuk menyerikan lagi blog Madrasah Hashimiah. Semasa sedang membuat
laporan, saya terfikir bahawa madrasah masih lagi kekurangan bantuan dari segi
makanan dan juga kewangan. Masalah ini walaupun tidak akan selesai namun
pastinya akan ada alternatif lain untuk membantu madrasah menghadapi masalah
ini. Sedang saya berfikir, Osman masuk ke pejabat dalam keadaan yang sangat
resah dan menceritakan kepada saya bahawa madrasah kekurangan kewangan untuk
menampung perbelanjaan bulanan. Beliau menyatakan duit yang diberikan kepada
madrasah sudah digunakan untuk membayar bil madrasah. Saya berkata kepada
beliau bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu madrasah ini. Pada masa yang
sama, saya pun agak risau tentang keperluan kanak-kanak di madrasah ini kerana
tempat inilah yang menjadi pusat ilmu dan rumah mereka.
Salah seorang pelajar mencuba untuk menjawab soalan
Percubaan untuk memahamkan mereka apa yang dipelajari
Pada
waktu petang, saya mengambil alih kelas bahasa malaysia yang sebelum ini diajar
oleh Ustaz Harun. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Ustaz Harun menyebabkan
kanak-kanak di madrasah ini terhenti seketika kelas bahasa Malaysia. Saya
mengambil kesempatan ini untuk mengajar mereka bahasa Malaysia. Walaupun tidak
mempunyai pengalaman mengajar, namun saya menggunakan pendekatan sendiri kerana
mereka tidak ramai. Saya cuba untuk membawa mereka berbahasa Malaysia tanpa
menggunakan kaedah melihat dari buku tetapi lebih kepada perbualan dan
pengajaran semasa bercerita dengan mereka. Dalam keseronokan saya mengajar
mereka, kami didatangi oleh tetamu yang tidak diduga.
Bersama penderma yang baik hati
Kami
didatangi oleh 3 orang kaum Cina yang datang untuk memberikan sumbangan derma
berbentuk wang dan juga makanan. Walaupun mereka bukanlah beragama Islam, namun
mereka bertanya sama ada orang Kristian boleh menderma di madrasah ini ataupun
tidak. Tanpa berfikir panjang dan dengan fikiran positif serta terbuka, kami
menerima mereka dengan hati yang gembira. Untuk menjadi seorang manusia yang
baik tidak perlu melihat kepada perbezaan tetapi lihatlah kepada persamaan.
Sekiranya melihat kepada perbezaan pastinya konsep kemanusiaan itu tidak akan wujud.
Mr. Chun, Mr. Lee, dan seorang lagi penderma yang tidak ingin diketahui nama
beliau berjanji akan memberikan sumbangan berbentuk makanan mentah kepada
Madrasah Hashimiah setiap bulan. Mereka datang membawa beras seberat 50
kilogram dan sumbangan berbentuk wang. Beliau menyatakan sekiranya madrasah
kekurangan bahan makanan mentah dan kewangan, beliau akan cuba untuk
dapatkannya untuk kepentingan madrasah. Terima kasih kepada para penderma yang
memberikan sumbangan di Madrasah Hashimiah semoga rezeki semakin bertambah. Begitulah
yang sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita, tidak melihat kepada perbezaan
agama dan bangsa untuk membantu mereka yang memerlukan.
Oleh yang demikian,
mereka yang bermurah hati bolehlah memberikan sumbangan kepada golongan yang
memerlukan ini tidak kira bangsa atau agama kerana kemanusiaan hanya perlukan
kesedaran untuk dilakukan. Sumbangan boleh dilakukan melalui bentuk kewangan di
CIMB Bank, Nombor akaun - 8600202864 (Madrasah Hashimiah) ataupun
bahan mentah di alamat Madrasah
Hashimiah, Tahfiz Al-Quran & Anak Yatim, No. 111-3, Kompleks Pasar Borong,
Jalan 2/3A, KM12, Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves,
Kuala Lumpur. Ataupun boleh hubungi Pengetua
Madrasah Hashimiah iaitu Ustaz
Hashim Bin Kassim di talian 019-262
1671.
Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
Pelajar Praktikal UKM
Madrasah Hashimiah