• Corak Pembelajaran Yang Tegas di Madrasah Hashimiah

    Kanak-kanak cuba menjawab soalan dalam Bahasa Malaysia
    Kaedah pembelajaran yang diterapkan pada masa kini sangat berbeza dengan dahulu. Pada zaman dahulu, guru-guru dibenarkan untuk merotan atau menghukum murid-murid yang nakal, tidak membuat kerja sekolah, tidak dapat membaca, tidak menghafal dan sebagainya kerana mahukan kanak-kanak pada zaman dahulu berjaya dan berdisiplin. Pada masa kini semua kaedah tersebut tidak lagi dibenarkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan kecederaan serius pada kanak-kanak. Tidak salah sekiranya berfikiran sedemikian namun ibu bapa perlu terlibat dalam membentuk disiplin kanak-kanak dan pembelajaran kanak-kanak kerana sekiranya kanak-kanak ini tidak dipantau mereka tidak akan melakukan kerja rumah mereka. Selain itu, kebanyakan ibu bapa pada zaman moden kini lebih membela kanak-kanak berbanding ibu bapa zaman dahulu yang lebih menghormati guru. Di Madrasah Hashimiah ini, saya melihat kaedah pembelajaran pada zaman dahulu di mana mereka menggunakan rotan dan hukuman untuk mengajar mereka dan juga mendisiplinkan mereka. Inilah kaedah yang digunakan oleh madrasah ini dan ibu bapa mereka tidak mengeluh ataupun melarang anak mereka dihukum kerana tidak mahu belajar.
         
    Para pelajar di madrasah ini belajar dari jam 8 sehingga jam 11 pagi. Kemudian mereka akan berehat untuk makan, tidur, dan solat zohor secara berjemaah. Hari ini, mereka mendapat makanan yang cukup istimewa kerana ada penderma yang memberikan mereka laksa Myanmar untuk makan tengahari. Makanan tersebut agak sedap dan sangat sesuai kepada mereka yang gemarkan makanan berkuah. Saya berpeluang untuk mereasa makanan tersebut kerana desakan daripada guru-guru madrasah. Pada mulanya saya enggan untuk turut makan sekali kerana pada pandangan saya makanan tersebut diberikan kepada mereka dan tidak elok sekiranya saya turut serta makan sekali. Namun atas permintaan daripada guru-guru madrasah yang mahukan saya merasai dan turut sekali makan makanan tersebut saya terpaksa akur. Sememangnya makanan tersebut sangat menyelerakan dari segi rasa.

    Mengajar bersama Osman untuk terjemahan ke Bahasa Myanmar

    Selepas selesai makan dan solat zohor, saya mengajar kelas petang untuk subjek Bahasa Malaysia. Kanak-kanak di dalam kelas ini memerlukan kaedah pembelajaran yang lebih baik untuk mereka dan bermula dari asas seperti bertegur sapa dan mengenali huruf. Ini kerana terdapat sebahagian daripada mereka masih tidak memahami Bahasa Malaysia dan ada yang tidak tahu membaca. Oleh yang demikian, kaedah pembelajaran yang lebih efektif akan dibuat dan kaedah ini memerlukan seorang penterjemah agar lebih mudah untuk difahami. Pelajar madrasah akan diuji selepas 3 bulan pengajian mereka, ujian ini akan dilakukan tidak lama lagi dan pelajar perlulah berusaha untuk menjawab ujian tersebut atau mereka tidak akan naik ke gred seterusnya.
                
    Selesai kelas Bahasa Malaysia, kami mengadakan perbincangan strategi futsal untuk pertandingan yang akan dianjurkan pada 8hb Oktober 2016. Pertandingan futsal ini dianjurkan oleh Alliance Bank dan mereka menjemput kumpulan Madrasah Hashimiah untuk ikut bertanding sekali. Oleh yang demikian, latihan yang ketat perlu dilakukan untuk menaikkan nama madrasah kerana sekurang-kurangnya madrasah mempunyai nama dalam bidang sukan juga dan tidak dalam bidang akademik sahaja. Walaupun tidak mendapat johan namun cukup untuk madrasah ini memberitahu masyarakat sekeliling bahawa mereka juga mampu untuk bertanding dalam bidang sukan. Namun keperluan sukan bukanlah sesuatu yang murah. 

    Bagi mereka yang bermurah hati dan berminat untuk memberikan derma bolehlah terus ke Madrasah Hashimiah. Selain itu, sumbangan boleh dilakukan melalui bentuk kewangan di CIMB Bank, Nombor akaun - 8600202864 (Madrasah Hashimiah) ataupun bahan mentah di alamat Madrasah Hashimiah, Tahfiz Al-Quran & Anak Yatim, No. 111-3, Kompleks Pasar Borong, Jalan 2/3A, KM12, Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur. Ataupun boleh hubungi Pengetua Madrasah Hashimiah iaitu Ustaz Hashim Bin Kassim di talian 019-262 1671.
    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah