• Pendedahan Dunia Digital Kepada Kanak-Kanak Di Madrasah Hashimiah Melalui Kelas Komputer



    Madrasah Hashimiah mendapat seorang Penolong Pegawai Tadbir yang baharu yang datang pada hari sabtu yang lepas. Beliau akan menguruskan segala hal pentadbiran madrasah ini dan segala yang berkaitan dengan pengurusan pejabat madrasah. Beliau bernama Mohamad Fazlan Bin Mohamad Ashraf yang berasal dari Kedah. Beliau merupakan salah seorang volunteer Kindness yang sudi untuk membantu di madrasah ini dan tinggal di dalam madrasah ini. Kehadiran beliau di madrasah dalam menguruskan hal pentadbiran akan memudahkan lagi pengurusan madrasah dan memudahkan lagi urusan penderma untuk membantu madrasah kerana lebih mudah untuk berkomunikasi sesama rakyat Malaysia sendiri. Lebih meyakinkan lagi apabila tidak berlakunya salah faham atau kurang faham dalam menyampaikan maklumat.

    Sesi perkenalan kami berjalan dengan lancar kerana kedua-duanya pun mudah untuk bergaul. Kami bertukar pengalaman melalui penceritaan terhadap aktiviti-aktiviti yang pernah kami lakukan dan bertukar pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan kemanusiaan dan madrasah. Bagi kami yang mempunyai minat terhadap bidang sebegini tidak sukar untuk bergaul kerana ada sahaja perkara yang boleh diceritakan dan ada sahaja perkara yang boleh dibahaskan untuk kebaikan bersama. Perkongsian pengalaman dan kemahiran amat penting dalam membantu golongan yang memerlukan kerana ianya adalah pengalaman terhadap menguruskan sesuatu perkara berkaitan bidang menolong.

    Latihan menggunakan komputer

    Minat yang sama dan mudah untuk bergaul menjadikan kami mudah untuk berkomunikasi. Selepas selesai kami bertegur sapa dan bertukar pengalaman, saya berpeluang untuk melihat kanak-kanak di madrasah ini menghadiri kelas komputer yang dikendalikan oleh sukarelawan dari luar. Kanak-kanak ini diajar menggunakan komputer dengan pengajaran yang paling asas untuk memudahkan mereka menggunakan komputer. Kelas komputer ini akan membantu mereka menggunakan teknologi terkini yang disediakan agar mereka bersedia untuk menghadapi dunia digital apabila mereka cukup dewasa kelak.

    Latihan mengawal bola.

    Jemputan daripada Affin Bank untuk madrasah menyertai pertandingan futsal membuatkan kanak-kanak di madrasah ini sangat gembira. Mereka berbesar hati untuk turut serta dan memberikan yang terbaik ketika pertandingan nanti. Oleh itu, mereka berlatih bermain futsal di tepi kedai di mana tempat tersebut kosong dan mempunyai ruang untuk mereka berlatih. Latihan yang mereka lakukan pada masa ini ialah memasing bola dengan laju dan bermain mengikut formasi yang diberikan. Latihan ini akan meningkatkan kesefahaman mereka antara satu sama lain dan tidak bergantung kepada seorang dua pemain sahaja. Namun, perkara yang menyedihkan ialah mereka tidak mempunyai peralatan sukan yang lengkap dan kebanyakan mereka juga berlatih dengan tidak memakai kasut kerana tidak mampu untuk membeli kasut futsal. Oleh yang demikian, mereka tidak dapat mengeluarkan sepenuhnya potensi yang dimiliki mereka kerana mereka sedar itu akan membahayakan lagi diri mereka sebelum pertandingan.

    Bagi mereka yang bermurah hati dan berminat untuk memberikan derma bolehlah terus ke Madrasah Hashimiah. Selain itu, sumbangan boleh dilakukan melalui bentuk kewangan di CIMB Bank, Nombor akaun - 8600202864 (Madrasah Hashimiah) atau berbentuk bahan mentah. Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pengetua Madrasah Hashimiah iaitu Ustaz Hashim Bin Kassim di talian 019-262 1671 dan Pejabat Madrasah Hashimiah di talian 018-288 2754.

    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah