Keluarga Kecil Kami di Madrasah Hashimiah
Surat menyurat bukanlah
suatu proses yang mudah kerana sebarang kesilapan akan membawa kepada perkara
yang tidak diingini seperti salah faham, maklumat yang cuba disampaikan tidak
dapat difahami, dan lebih teruk lagi tidak menjawab apa yang disampaikan oleh
si pengirim surat. Saya sendiri akui saya tidak berkemahiran dalam surat
menyurat tetapi itulah yang harus saya pelajari kerana itulah yang akan
membantu kerja saya suatu hari nanti. Hari ini saya berpeluang untuk membalas
surat daripada pelajar salah sebuah universiti tempatan mengenai program yang
mereka hendak jalankan. Terdapat beberapa masalah yang timbul dalam permohonan
yang dilakukan kerana mereka melakukan permohonan secara mengejut dalam tempoh
seminggu sebelum program tanpa melakukan perbincangan dengan pihak madrasah
terlebih dahulu. Surat tersebut bertarikh 22 Ogos 2016 namun dihantar melalui
email pada tarikh 7 September 2016. Hal ini menyukarkan pihak madrasah untuk
membuat keputusan kerana tarikh yang mereka pilih adalah tarikh cuti sekolah
bagi Madrasah Hashimiah. Namun keputusan yang hendak dibuat mestilah mengambil
tindakan baik dan buruk setiap keputusan yang dilakukan.
Seperti yang saya
jelaskan dalam penulisan sebelum ini, kanak-kanak di sini amat mudah untuk
didekati sekiranya kita tahu apa yang hendak mereka sampaikan dan apa yang
mereka minati. Saya berkesempatan untuk berbual dengan salah seorang pelajar
peringkat tahfiz yang sudah menghafal 2 juzu' Al-Quran iaitu Muhammad Azmi.
Beliau merupakan salah seorang anak angkat kepada pengasas madrasah ini iaitu
Ustaz Hashim dan merupakan penghuni asrama madrasah ini. Banyak perkara yang
dibualkan oleh kami berdua bermula dari cara untuk membuat karangan Bahasa
Malaysia, facebook, kartun, dan juga motosikal. Azmi menunjukkan satu riak
kegembiraan di wajahnya ketika bercerita mengenai perkara-perkara yang
diminatinya dan juga yang baru dipelajarinya. Walaupun tidak fasih berbahasa
Malaysia namun perbualan kami berdua sangat lama. Kemesraan inilah yang
diperlukan oleh mereka untuk mendapatkan perhatian daripada orang dewasa.
Mereka juga merupakan kanak-kanak yang memerlukan perhatian seperti kanak-kanak
lain di dunia ini.
Pelajar diajar oleh guru mereka
Pelajar senior membantu membetulkan bacaan mereka
Saya mengambil
kesempatan untuk memantau dan melihat pembelajaran kanak-kanak di madrasah ini
yang membuatkan saya rasa kagum dan unik. Melihat kepada persekitaran
pembelajaran juga menjadi satu rutin dan latihan untuk diri saya supaya saya
dapat memahami bagaimana proses disiplin dan peribadi mereka terbentuk. Dapat
dilihat di sini bagaimana pelajar senior membetulkan bacaan Al-Quran junior
mereka selain membantu tugas guru-guru mereka. Kanak-kanak di sini sangat
menghormati pelajar yang lebih tua daripada mereka. Apabila teguran dilakukan
oleh pelajar senior, pelajar-pelajar junior segera membetulkan bacaan mereka
dan mengulangi semula bacaan.
Kembali semula kepada rundingan program dengan
pelajar diploma salah sebuah universiti tempatan, perbincangan awal memang
pihak madrasah tidak dapat menerima kunjungan yang akan dilakukan oleh para
pelajar universiti tersebut. Hal ini kerana pada masa tersebut para pelajar
madrasah sedang bercuti dan pelajar yang tinggal di asrama madrasah juga tidak ramai.
Perbincangan lanjut dilakukan di madrasah mencadangkan kepada pihak mereka
bahawa program tersebut seboleh-bolehnya ditunda ke minggu hadapan. Namun
mereka tidak dapat menunda ke tarikh yang akan datang disebabkan segala
persediaan dan tempahan telah dilakukan. Untuk mengelakkan salah faham dan
untuk kebaikan bersama, Pengetua madrasah iaitu Ustaz Hashim memilih untuk
menerima mereka kerana mereka tetamu yang datang dari jauh dan pihak madrasah
juga mengambil langkah yang bijak dalam membuat keputusan. Pihak madrasah akan
berusaha sedaya upaya untuk mengumpul pelajar yang berdekatan bagi menjayakan
program ini.
Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
Pelajar Praktikal UKM
Madrasah Hashimiah