Mulianya Seorang Pemberi Sedekah
Dalam firmah Allah
dalam surah Al-Baqarah ayat 261 :" Bandingan (derma) orang-orang yang
membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang
tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi
seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa
yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu
pengetahuanNya". Begitulah kelebihan bersedekah dan janji Allah kepada
hambaNya yang bersedekah. Terdapat lima kebaikan bersedekah iaitu mendatangkan
keampunan Allah, mengundang penambahan rezeki, menyembuhkan penyakit, menolak
bala, dan memanjangkan umur.
Kak Syaz bersama salah seorang tenaga pengajar madrasah.
Hari Jumaat yang penuh barakah ini, saya
berpeluang untuk berjumpa dengan salah seorang penderma tetap kepada madrasah
ini. Beliau merupakan seorang wanita yang cukup anggun dari segi penampilannya
namun agak sopan dalam pertuturannya. Beliau yang hanya ingin dikenali sebagai
Kak Syaz memberikan sumbangan sebanyak RM5000.00 kepada madrasah. Saya
mengambil peluang bercerita dengan beliau yang mana sebagai permulaan kepada
sumbangan yang dilakukan terhadap madrasah hanyalah bermula dari RM250.00
sahaja. Namun janji Allah itu pasti, rezeki yang Allah kurniakan kepada beliau
semakin bertambah dan beliau tingkatkan lagi sumbangannya dari masa ke masa.
Beliau dilihat sebagai seorang yang ceria namun di sebalik keceriaan beliau
menyembunyikan seribu kesakitan. Beliau menghidap penyakit yang agak sukar
untuk disembuhkan dan sudah beberapa kali menjalani pembedahan. Alhamdulillah
dan syukur kepada Allah kerana janjinya yang pasti, beliau semakin sihat dan
berjanji akan terus memberikan sumbangan kepada madrasah ini selagi hayat di
kandung badan. Begitu mulianya seorang yang sanggup berkorban harta di jalan
Allah untuk membantu kanak-kanak di madrasah ini.
Lembu yang cukup sihat
Haiwan qurban yang jinak
Hari Jumaat adalah hari
yang cukup mulia bagi Umat Islam di seluruh dunia. Hari ini juga saya
berkesempatan untuk mengiringi kanak-kanak di madrasah ini bergerak ke masjid
untuk menunaikan solat jumaat di masjid yang berhampiran. Mereka mengenakan
jubah yang berwarna putih dan memakai serban serta duduk di saf paling hadapan
tingkat atas masjid. Ini akan melatih mereka untuk mengimarahkan masjid suatu
hari nanti. Itulah yang saya difahamkan oleh salah seorang tenaga pengajar
madrasah di sini yang mana mereka mendidik kanak-kanak tersebut untuk sentiasa
duduk di hadapan bagi melatih hati mereka supaya rajin ke masjid. Sejurus
pulangnya dari menunaikan solat jumaat, saya dan kanak-kanak madrasah ini
berpeluang untuk melihat seekor lembu yang cukup besar dan sihat untuk
dijadikan qurban nanti. Keterujaan mereka melihat lembu yang cukup besar itu
mencuit hati golongan belia yang melihat mereka kerana mereka mengambil
kesempatan untuk menyentuh haiwan qurban tersebut. Kegembiraan mereka adalah
satu nikmat bagi mereka yang mengasihani dan menyayangi mereka.
Mengagihkan aiskrim kepada kanak-kanak madrasah
Berkongsi kegembiraan bersama mereka menikmati aiskrim
Selepas
melihat haiwan qurban ini, saya dan Osman pergi membeli aiskrim untuk
diagih-agihkan kepada kanak-kanak di madrasah hashimiah ini. Duit untuk membeli
aiskrim tersebut adalah hasil sumbangan daripada Kak Syaz dan terima kasih atas
sumbangan tersebut kerana dapat mengukirkan senyuman di wajah kanak-kanak yang
kurang bernasib baik ini. Semoga Allah akan terus merahmati dan memberkati
kepada para pemberi sumbangan dan penderma yang berhati mulia.
Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
Pelajar Praktikal UKM
Madrasah Hashimiah