• Senyuman Dari Sedekah Pada Hari Jumaat


    Makan tengahari sebelum solat Jumaat

    Hari Jumaat merupakan hari yang cukup sinonim dengan umat Islam dan merupakan hari yang cukup barakah. Ramai umat Islam di seluruh dunia memanfaatkan hari yang mulia ini dengan melakukan banyak amal ibadah seperti datang awal ke masjid sebelum sembahyang jumaat, berwangi-wangian, membersihkan diri, malah ada yang banyak bersedekah pada setiap hari jumaat. Bersedekah dapat meringankan hati untuk berbelanja di jalan Allah malah dapat membentuk hati dan membersihkan hati agar terus membantu golongan yang memerlukan. Bersedekah bukan sahaja melalui bentuk kewangan, namun juga dalam bentuk doa, zikir, dan perbuatan seperti senyum kepada orang lain. Memberi kebahagiaan kepada orang lain juga dikira sedekah.


    Sebagaimana yang dilakukan oleh Kindness Siswa yang akan datang pada 8 haribulan Oktober nanti. Mereka menyatakan hasrat untuk datang ke Madrasah Hashimiah untuk melakukan sedikit program yang boleh menggembirakan kanak-kanak ini. Memberikan kegembiraan juga satu sedekah dan ini amat mudah untuk dilakukan. Begitulah yang seharusnya berlaku apabila sedekah ini mampu untuk mengubah kehidupan orang lain. Madrasah Hashimiah juga memerlukan sedekah daripada orang ramai tidak kiralah sedekah yang hendak diberikan berbentuk kewangan ataupun yang lain-lain asalkan dapat memberikan kebahagiaan dan meringankan beban mereka.

    Kanak-kanak yang menikmati roti canai

    Ringkas, namun memuaskan hati mereka

    Memberikan kebahagiaan kepada orang lain melalui sedekah, itulah yang diterima oleh kanak-kanak di madrasah ini pada setiap hari Jumaat. Mereka akan diberikan sumbangan oleh penderma atau pemberi sedekah yang baik hati. Mereka mendapat roti canai pada hari yang mulia ini daripada seorang insan yang tidak mahu diketahui identitinya. Walaupun makan yang diberi tidaklah mewah namun sudah cukup untuk mengukir senyuman di bibir mereka. Ukiran senyuman itu akan melembutkan hati yang memberi sedekah kerana senyuman bukanlah mudah untuk diukir dan senyuman ikhlas bukanlah mudah untuk diperolehi. Melalui pemberian sedekah kepada mereka di madrasah akan mengukir senyuman yang cukup ikhlas untuk mereka. Terima kasih kepada penderma yang baik hati, moga Allah membantu mereka dan memurahkan rezeki mereka. 

    Bagi mereka yang bermurah hati dan berminat untuk memberikan derma bolehlah terus ke Madrasah Hashimiah. Selain itu, sumbangan boleh dilakukan melalui bentuk kewangan di CIMB Bank, Nombor akaun - 8600202864 (Madrasah Hashimiah) ataupun bahan mentah di alamat Madrasah Hashimiah, Tahfiz Al-Quran & Anak Yatim, No. 111-3, Kompleks Pasar Borong, Jalan 2/3A, KM12, Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur. Ataupun boleh hubungi Pengetua Madrasah Hashimiah iaitu Ustaz Hashim Bin Kassim di talian 019-262 1671 dan Pengerusi iaitu En. Muhammad Bin Kamarulazizi di talian 018-3800961.

    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah