• Jumlah Yang Besar Untuk Mendapatkan Buku Bahasa Malaysia Yang Baharu


    Peperiksaan Bahasa Malaysia hari ini dijalankan untuk semua pelajar yang mengambil kelas Bahasa Malaysia. Setiap kelas akan mendapat kertas soalan yang berbeza mengikut tahap kemampuan mereka dan apa yang mereka pelajari. Ini adalah peperiksaan yang terakhir yang akan menggunakan silibus lama dan silibus baru akan diguna pakai untum menyusun semula dan memantapkan lagi kaedah pembelajaran.

    Peperiksaan sedang dijalankan

    Selepas peperiksaan Bahasa Malaysia tamat, mereka diberikan masa untuk rehat sebentar kerana akan ada aktiviti yang lain selepas peperiksaan tersebut. Aktiviti yang dimaksudkan adalah ceramah dan kuiz sempena hari Asyura yang bakal tiba. Persediaan dilakukan oleh guru-guru sebelum ceramah dan kuiz dilakukan dengan memasang alat pembesar suara. Semasa majlis ceramah dijalankan, kuiz akan diselitkan dan sesi soal jawab bermula.  

    Wakil pelajar lelaki menjawab soalan

    Wakil pelajar perempuan menjawab soalan
    Sesi ini boleh disertai oleh guru-guru dan kanak-kanak madrasah kerana soalan kuiz tersebut dibacakan sendiri oleh Ustaz Hashim. Kemeriahan boleh dilihat ketika sesi kuiz dijalankan di mana kanak-kanak berebut-rebut untuk menjawab soalan. Setiap soalan yang dijawab dengan betul akan mendapat ganjaran berbentuk wang ringgit. Walaupun tidak seberapa namun cukup untuk meningkatkan moral mereka dan cukup untuk mereka mengetahui kelebihan hari Asyura dan ilmu keagamaan yang lain. 
    Contoh isi yang terkandung dalam sebuah buku pilihan untuk dijadikan silibus

    Selepas selesainya ceramah dan kuiz, saya diamanahkan untuk mencari buku yang sesuai untuk dijadikan silibus kepada pengajian Bahasa Malaysia mereka. Buku yang dicari mestilah sesuai dengan tahap-tahap kemahiran yang diperolehi mereka bermula dari buku untuk kanak-kanak berumur 5 tahun sehingga kanak-kanak yang berusia 8 tahun. Buku-buku yang dipilih ini kemudiannya dinilai sama ada sesuai ataupun tidak untuk digunakan agar ianya menjadi buku yang digunakan setiap tahun. Sebuah buku bernilai lebih kurang RM6.90 dan diperlukan untuk sebuah kelas lebih kurang 30 orang. Terdapat 4 buah kelas yang memerlukan buku untuk dijadikan silibus dan ini menjadikan kiraannya kepada RM6.90 X 30 X 4 = RM828.00. Inilah jumlah harga buku yang diperlukan dan madrasah sangat mengalu-alukan mereka yang ingin memberikan sumbangan ataupun menaja buku untuk mereka.

    Bagi mereka yang bermurah hati dan berminat untuk memberikan derma dan menaja buku bolehlah terus ke Madrasah Hashimiah. Selain itu, sumbangan boleh dilakukan melalui bentuk kewangan di CIMB Bank, Nombor akaun - 8600202864 (Madrasah Hashimiah) atau berbentuk bahan mentah. Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pengetua Madrasah Hashimiah iaitu Ustaz Hashim Bin Kassim di talian 019-262 1671 dan Pejabat Madrasah Hashimiah di talian 018-288 2754.

    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah