• Limpahan Rezeki Untuk Anak-Anak Madrasah Hashimiah Di Hari Asyura



    Hari Asyura merupakan antara hari yang terpenting kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia. Banyak peristiwa yang berlaku pada hari Asyura antaranya ialah Allah S.W.T menjadikan alam semesta dan juga Allah S.W.T menyelamatkan nabi Ibrahim A.S daripada kejahatan Raja Namrud yang membakar baginda dengan api yang besar. Begitulah pentingnya hari Asyura di mana umat Islam digalakkan untuk banyak bersyukur dan banyak melakukan kebaikan pada hari tersebut. Bukan pada hari Asyura sahaja kita melakukan kebaikan namun pada hari lain-lain juga tetapi pada hari Asyura lebih digalakkan melakukan kebaikan dengan lebih banyak seperti amalan bersedekah dan berbuat baik dengan anak-anak yatim.

    Rezeki nasi arab dari penderma

    Di hari mulia ini, Madrasah Hashimiah menerima rezeki nasi arab hasil sumbangan daripada Restoran Wadi Daw'an. Restoran ini memang kerap kali memberikan sumbangan kepada madrasah dan sekaligus serba sedikit membantu madrasah mengurangkan belanja pada masa-masa tertentu. Sumbangan daripada pemilik restoran tersebut meringankan beban yang dihadapi oleh madrasah dan memberikan senyuman dan kesyukuran kepada anak-anak yang memerlukan. Beliau iaitu pemilik Restoran Wadi Daw'an telah melakukan kebajikan yang cukup-cukup besar pahalanya di hari Asyura iaitu dengan bersedekah dan berbuat baik kepada anak-anak yatim di Madrasah Hashimiah. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana madrasah dipertemukan dengan insan seperti beliau kerana bermurah hati untuk membuat kebajikan di Madrasah Hashimiah

    Hidangan kari kambing

    Anak-anak madrasah bersedia untuk menikmati hidangan

    Rezeki untuk anak-anak Madrasah Hashimiah di hari Asyura tidak terhenti di situ sahaja, mereka menerima seekor kambing untuk disembelih dan dijadikan hidangan untuk mereka. Kegembiraan ini dikongsi dengan para Ustaz apabila mereka menyembelih dan bergotong royong ketika melapah daging kambing tersebut sekaligus memasak kari kambing beramai-ramai. Penderma yang baik hati itu tidak diketahui namanya malah tidak mahu diketahui oleh pihak yang lain kecuali pengetua madrasah iaitu Ustaz Hashim. Penderma ini juga selalu memberikan sumbangan kepada madrasah tetapi secara senyap dan tidak mahu diketahui. Tidak kira siapakah identiti penderma yang baik hati ini namun sikap bermurah hati beliau patut dicontohi oleh masyarakat dan Madrasah Hashimiah sangat-sangat berterima kasih kepada beliau kerana memberikan sumbangan dan memberikan senyuman kepada anak-anak yatim madrasah.

    Pihak Madrasah Hashimiah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penderma dan penyumbang dan mendoakan kesihatan dan limpahan rezeki untuk mereka. Madrasah Hashimiah membuka peluang kepada individu, pihak berkumpulan, atau syarikat yang berminat untuk memberikan sumbangan dan menaja gaji guru ataupun keperluan anak-anak yatim madrasah. Tajaan boleh dilakukan melalui bentuk kewangan di CIMB Bank, nombor akaun - 8600202864 (Madrasah Hashimiah). Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pengetua Madrasah Hashimiah iaitu Ustaz Hashim Bin Kassim di talian 019-262 1671 dan Pejabat Madrasah Hashimiah di talian 018-288 2754.

    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah