Setelah
beberapa minggu menjalani latihan futsal, akhirnya kanak-kanak terpilih di
madrasah ini akan menunjukkan bakat yang dimiliki mereka di pertandingan futsal
anjuran Affin Bank yang menjemput rumah-rumah kebajikan sekitar Kuala Lumpur
dan juga Selangor. Pertandingan futsal ini disertai oleh 5 buah rumah kebajikan
iaitu Madrasah Hashimiah, Asrama Darul Falah (ASDAF), Somali, Chow Kit Youth,
dan Rumah Kasih Harmoni. Setiap rumah kebajikan menghantar 2 pasukan yang
diasingkan mengikut kumpulan A dan kumpulan B.
Somali
yang merupakan juara bertahan adalah sasaran utama kepada semua kumpulan untuk
ditewaskan. Kumpulan Somali adalah merupakan anak-anak pelarian daripada
Somalia yang mendapat perlindungan dan tinggal di Malaysia. Saiz fizikal dan
ketangkasan mereka menjadikan mereka mempunyai kelebihan daripada saiz
kanak-kanak di Asia. Seperti yang dijangka, kanak-kanak di Madrasah Hashimiah
juga menjadikan kumpulan Somali sebagai sasaran utama mereka. Selain itu,
mereka juga menjadikan ASDAF sebagai pasukan yang tidak boleh dipandang rendah
kerana ASDAF adalah pasukan yang pernah menjuarai pertandingan Futsal sebelum
ini.
|
Sebelum pertandingan bermula |
Setelah
sampai di KSL Futsal Sri Gombak, kesemua peserta mendapat baju yang diberikan
oleh Affin Bank dan mereka diberikan sarapan pagi. Perlawanan pertama Madrasah Hashimiah ialah pasukan yang mereka geruni dan pasukan yang mereka ingin kalahkan
iaitu Somali. Perlawanan kumpulan A antara Somali A dan Hashimiah A berakhir
dengan keputusan 5-0 di mana mereka dibelasah teruk oleh kumpulan Somali A.
Perlawanan kumpulan B antara Somali B dan Hashimiah B pula mempunyai keputusan
yang tidak dijangka iaitu 0-1 di mana Hashimiah B berjaya mengalahkan Somali B.
Kumpulan Hashimiah A mempunyai nasib yang kurang baik apabila Kalah kepada
ASDAF A, Chow Kit Youth A, dan seri dengan Rumah Kasih Harmoni A. Ini secara
tidak langsung menjadikan mereka tidak layak ke pusingan seterusnya.
|
Perlawanan sengit menentang Somali A |
|
Tewas dari segi stamina dan ketepatan pasingan bola |
Berbeza
dengan Hashimiah B yang seri 1-1 dengan Rumah Kasih Harmoni B, kalah dengan Chow
Kit Youth B 3-0, dan menang dengan ASDAF B 3-2. Hashimiah B secara automatik
layak ke pusingan seterusnya dan mereka bertemu Somali A. Perlawanan antara
Somali A dan Hashimiah B agak sengit kerana mampu berikan saingan pada masa
pertama mengikat Somali A dengan gol 1-1. Namun akhirnya akur dengan kehebatan
pihak lawan pada masa kedua apabila Somali A menjaringkan 3 lagi gol. Penentuan
tempat ketiga pula adalah antara Somali B dan Hashimiah B apabila mereka
bertembung semula untuk mendapatkan tempat ketiga. Perlawanan yang berlangsung
agak sengit apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan dan akhirnya berkongsi
gol 1-1 sehingga ke akhir perlawanan dan penentuan tempat ketiga bergantung
kepada nasib di penentuan penalti. Somali B menang dengan keputusan penalti 3-2
dan terlihat raut kekecewaan di wajah kanak-kanak madrasah.
Juara
pada pertandingan futsal kali ini masih lagi Somali A apabila mereka membelasah
Rumah Kasih Harmoni dengan keputusan 5-0. Namun apa yang penting adalah
semangat mereka dalam menunjukkan semangat kesukanan dan tidak mudah menyerah
kalah biarpun dilihat pasukan underdog.
Walaupun hanya mendapat tempat keempat, namun mereka tetap mendapat saguhati
yang memberikan keceriaan di wajah mereka. Selepas selesai program tersebut,
kanak-kanak madrasah dihantar pulang dan berehat. kelihatan mereka sangat letih
selepas seharian bertanding. Mereka nekad untuk berusaha lebih gigih di
pertandingan akan datang.
Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
Pelajar Praktikal UKM
Madrasah Hashimiah