• Tamatnya Latihan Industri Pelajar Kerja Sosial Perubatan UKM



    Hari terakhir di Madrasah hashimiah setelah 6 minggu menjalani latihan industri di sini. Banyak pengalaman yang saya lalui dan banyak ilmu yang saya perolehi. Bermula dari bagaimana saya mengadaptasikan diri dengan suasana di sini yang dipenuhi dengan warga Myanmar dan juga kanak-kanak yang sangat peramah. Untuk membiasakan diri dengan suasana di sini tidak susah bagi diri saya sendiri kerana saya mampu untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan. Namun apa yang saya gemari adalah bagaimana mereka menghormati orang yang membantu mereka di mana mereka akan melayan kita dan menghormati kita.

    Banyak perkara yang saya pelajari antaranya ialah bagaimana untuk menguruskan kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen, membuat surat kepada kedutaan Malaysia, mencari dana, mempromosikan madrasah, menguruskan maklumat mengenai madrasah, menjawab surat daripada badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, dan menjadi guru bahasa Malaysia kepada bukan warganegara. Setiap perkara yang saya pelajari adalah sangat bermakna kerana bidang yang saya pelajari banyak berkait rapat dengan apa yang saya pelajari di madrasah seperti pencarian dana dan membuat surat kepada kedutaan sekiranya tidak mempunyai dokumen. Banyak lagi pengalaman yang saya perolehi di madrasah ini namun biarlah ianya menjadi pengalaman berharga yang hanya saya sendiri mengetahuinya dan menghargainya. Ianya pengalaman yang cukup menarik dan menggembirakan apabila kehadiran saya di sini sangat dihargai.

    Semasa saya memohon di sini saya tidak menjangkakan bahawa madrasah ini cukup aktif dan cukup terkenal. Saya diselia oleh En. Muhammad yang merupakan pengerusi di madrasah ini dan juga Pengasas Kindness Malaysia. Ianya ibarat saya mendapat latihan daripada 2 agensi iaitu Madrasah Hashimiah dan Kindness Malaysia. Saya merasakan kedatangan saya ke tempat ini cukup bertuah kerana mendapat latihan daripada 2 agensi dan juga mendapat layanan yang cukup bagus serta mempunyai pembimbing yang mesra dan tegas. Pengalaman yang berharga ini akan saya ingati dan saya amalkan segala apa yang saya pelajari dalam latihan industri yang kedua yang akan saya lakukan di tempat lain.

    Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Madrasah Hashimiah dan Kindness Malaysia kerana sudi menerima saya melakukan latihan industri di tempat mereka dan saya juga mengucapkan rasa bersyukur ke hadrat ilahi kerana dipertemukan dengan insan yang cukup hebat di mata saya. Selain itu, saya juga berharap agar diri saya terus mempunyai hubungan yang baik dengan Madrasah Hashimiah dan juga dapat menyertai Kindness Malaysia dalam menyebarkan kebaikan yang dilakukan. Setiap insan mempunyai kebaikan dalam diri mereka cuma bagaimana untuk mereka luahkan sahaja menjadi persoalan. Sekian daripada saya Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus, pelajar praktikal UKM di Madrasah Hashimiah. Semoga hubungan saya dengan kedua-dua agensi ini berkekalan.

    Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
    Pelajar Praktikal UKM
    Madrasah Hashimiah