Firman Allah SWT dalam surah Al-Hajj ayat 40, "dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya". Bersedekah adalah ibadah yang dituntut dalam Islam kerana bersedekah dapat memurahkan rezeki seseorang dan juga meringankan hati untuk terus membantu golongan yang memerlukan. Namun, bukanlah ibadah bersedekah yang ingin ditekankan di sini tetapi adalah ibadah Qurban yang dapat membantu golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dan pelarian pelarian yang beragama Islam. Ibadah Qurban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh kekasih Allah yang juga merupakan seorang yang amat merindui umatnya iaitu Muhammad Rasulullah S.A.W. Baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabat baginda melakukan ibadah Qurban. Ini kerana ibadah Qurban mempunyai banyak fadhilat yang memberikan kelebihan kepada mereka yang melaksanakannya.
- Untuk mengingatkan kita kepada peristiwa Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor Kibasy.
- Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezekidan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan dan kebaikan orang lain.
- Memupuk sikap prihatin dan toleransi dengan mengagihkan sebahagian daripada daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin dan golongan yang memerlukan sempena hari raya Qurban.
- Menyemai dan menanam sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran dan ketakwaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan cinta mereka kepada Allah S.W.T.
- Keampunan daripada kerana titisan darah qurban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. Imran bin Hushain R. A bersabda kepada Sayyidatina Fatimah R. A.: meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang Maksudnya: “Wahai Fatimah, pergilah ke tempat (penyembelihan) qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.”(Hadis riwayat al-Hakim).
- Kebajikan yang dikurniakan kepada orang yang berqurban adalah sebanyak bulu binatang yang diqurbankan. Zaid bin Arqam R. A. meriwayatkan: Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah S.A.W. bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada qurban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.”(Hadis riwayat Ibnu Majah).
- Darah qurban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah S.W.T. A’isyah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban). Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah qurban itu sebelum darah binatang qurban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah qurban kamu.”(Hadis riwayat at-Tirmidzi).