![]() |
Pelajar-pelajar perempuan agak bersedia untuk melakukan program |
Tetamu Dari Seberang Laut Meraikan Anak-anak Madrasah Hashimiah
Perbincangan dan persediaan untuk melakukan program lebih awal
Hari
ini Madrasah Hashimiah di kunjungi oleh tetamu yang istimewa. Mereka datang
dari seberang laut iaitu kepulauan Borneo untuk melakukan program bersama
kanak-kanak Madrasah Hashimiah. Tetamu istimewa yang dikatakan ini adalah
pelajar-pelajar daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan mereka
tiba ke Madrasah Hashimiah tepat pada jam 10 pagi. Ketibaan mereka disambut
oleh saya dan Osman dan kami mengiringi mereka terus ke tingkat 2 bangunan
madrasah ini. Mereka diraikan oleh kanak-kanak madrasah ini dengan sesi
bersalam-salaman dan penuh keterujaan oleh kanak-kanak. Seramai 30 orang
pelajar dan seorang pensyarah pengiring yang datang ke madrasah ini untuk
menjalankan program yang berkaitan dengan komunikasi dan permainan. Pada awal
perancangan mereka, program ini sepatutnya bermula pada jam 2 petang namun
disebabkan ketibaan mereka di madrasah adalah lebih cepat dari yang dijangkakan
dan mereka merasakan lebih sesuai untuk menjalankan program lebih awal.
Ucapan daripada ketua rombongan Uitm Sarawak
Para pelajar duduk bersama kanak-kanak madrasah
Percubaan untuk mereka berkomunikasi dengan kanak-kanak ini
Aktiviti suai kenal
Aktiviti mengajar bahasa Inggeris
Membuat pakaian tradisional menggunakan surat khabar
Mereka
berbincang dengan saya untuk memohon program mereka dilangsungkan segera kerana
untuk mengelakkan kanak-kanak tersebut dari tertunggu-tunggu dengan program
mereka. Saya mempersetujui perancangan mereka dan program bermula pada jam 11
pagi dengan ucapan daripada ketua rombongan pelajar-pelajar UiTM Sarawak.
Kanak-kanak ini dibahagikan kepada 6 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai
fasilitator sendiri yang akan membantu mereka untuk melakukan aktiviti yang
dijalankan. Dalam program yang dijalankan, saya melihat beberapa aktivit yang
cukup menarik minat kanak-kanak tersebut iaitu Story Telling, rebut kerusi, mengajar membaca, melihat kartun,
membuat pakaian kertas, dan menghias madrasah dengan pelekat-pelekat yang
berwarna-warni.
Kesukaran untuk berkomunikasi nampak terpapar di wajah pelajar tersebut
Menghias dinding madrasah agar lebih nampak ceria
Kanak-kanak yang terhibur apabila di bawa menyanyi
Kanak-kanak yang ditidurkan oleh salah seorang pelajar
Kemesraan yang ditunjukkan kepada kanak-kanak madrasah
Walaupun
program yang dilakukan nampak lancar, namun mereka mengalami kesukaran untuk
berkomunikasi dengan kanak-kanak tersebut kerana terdapat kanak-kanak yang
masih belum fasih untuk berbahasa Malaysia. Mereka terpaksa menggunakan bahasa
Inggeris dan bahasa Malaysia untuk berkomunikasi dan agak mencuit hati apabila
program yang mereka lakukan sedikit luar kawalan disebabkan terdapat
kanak-kanak yang menangis tidak dapat ikut bermain permainan tersebut dan juga
kalah semasa permainan tersebut dilakukan. Namun, perkara itu dapat
diselesaikan dengan segera kerana kebanyakan daripada pelajar tersebut adalah
perempuan dan mereka berkemahiran untuk memujuk kanak-kanak ini. Mereka
berpeluang untuk menjaga seorang budak perempuan yang berusia 4 tahun di mana
budak tersebut masih belum sesuai untuk mengikuti program mereka.
Pelajar-pelajar perempuan UiTM berganti-ganti mendukung budak tersebut
sehinggalah budak tersebut tidur. Ini menunjukkan mereka juga dapat merasakan
satu perasaan kasih sayang terhadap kanak-kanak yang memerlukan perlindungan
ini.
Program
yang dijalankan ini tamat pada jam 1 tengahari untuk memberikan ruang kepada
kanak-kanak berehat sebelum solat Zohor. Pelajar-pelajar Muslim dari UiTM turut
menyertai solat Zohor bersama kanak-kanak di sini. Mereka membersihkan tempat
solat bersama-sama dan membentang sejadah untuk sembahyang bersama-sama
kanak-kanak madrasah. Solat Zohor diimamkan oleh Ustaz Mohd Ismail Bin Mohd
Soleh.
Cenderahati daripada Uitm Sarawak
Bersalam-salaman dan perpisahan
Ada senyuman dan ada kesedihan terpancar di wajah pelajar-pelajar
Selepas
solat Zohor bersama kanak-kanak madrasah selesai, sudah tiba masanya acara
penyampaian hadiah kepada kanak-kanak dilakukan. Hadiah yang diberikan mereka
kepada kanak-kanak sama rata sahaja untuk mengelakkan kanak-kanak tersebut
bergaduh ataupun tidak berpuas hati terhadap hadiah mereka. Selepas itu, ucapan
daripada ketua rombongan mereka yang mengucapkan ribuan terima kasih kepada
pihak Madrasah Hashimiah kerana sudi menerima rombongan mereka dan mereka
memberikan saguhati kepada pihak madrasah. Selepas selesai acara, mereka
berkemas-kemas untuk berangkat pulang ke kediaman mereka sebelum pulang ke
Sarawak. Semasa sesi bersalam-salaman dengan kanak-kanak madrasah, dilihat
ramai pelajar-pelajar tersebut menitiskan air mata kesedihan dan juga
kegembiraan kerana mereka sedih untuk meninggalkan mereka walaupun baru
berjumpa mereka gembira kerana berpeluang untuk berbakti kepada kanak-kanak
yang memerlukan ini. Air mata yang diajtuhkan bukan sahaja oleh golongan
pelajar perempuan malah orang yang pertama menitiskan air mata adalah daripada
golongan lelaki. Walaupun luaran mereka nampak gagah perkasa tetapi dalam hati
ada kelembutannya. Mereka bergerak pulang pada jam 2.30 petang dengan menaiki
bas daripada UiTM Shah Alam dan kanak-kanak di madrasah ini sangat gembira
bertemu mereka dan pastinya mereka merindui pelajar-pelajar daripada UiTM
Sarawak itu.
Muhammad Fauzan Nazreensyah B Yunus
Pelajar Praktikal UKM
Madrasah Hashimiah