• Ibadah Qurban Tuntutan Islam


    Ibadah Qurban merupakan sesuatu ibadah yang di tuntut dalam Islam dalam mentaati perintah Allah S.W.T dalam menjalani ibadah seorang hamba bertaqwa. Begitu juga Madrasah Hashimiah juga tidak di kecualikan bagi meraikan ibadah korban pada tahun ini.

    Firman Allah SWT dalam surah Surat Al Kautsar 1-2, "Sesungguhnya Kami telah memberikan karunia sangat banyak kepadamu, maka sholatlah untuk Tuhanmu dan sembelihlah qurban". Berqurban adalah ibadah yang dituntut dalam Islam kerana berqurban dapat membantu dan meringankan hati untuk terus membantu golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dan pelarian pelarian yang beragama Islam. Ibadah Qurban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh kekasih Allah yang juga merupakan seorang yang amat merindui umatnya iaitu Muhammad Rasulullah S.A.W. Baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabat baginda melakukan ibadah Qurban. Ini kerana ibadah Qurban mempunyai banyak fadhilat yang memberikan kelebihan kepada mereka yang melaksanakannya.


    Ibadah Qurban adalah sangat dituntut di dalam agama Islam kerana hukum menunaikannya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut dan digalakkan. Namun terdapat juga syarat-syarat bagi mereka yang ingin melakukan ibadah Qurban iaitu mestilah Islam, baligh dan berakal, bebas/merdeka(tidak dipunyai dan tidak dimiliki), dan berkemampuan. Hikmah dari pensyariatan ibadah Qurban pula ialah :

    1. Untuk mengingatkan kita kepada peristiwa Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor Kibasy.
    2. Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezekidan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan dan kebaikan orang lain.
    3. Memupuk sikap prihatin dan toleransi dengan mengagihkan sebahagian daripada daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin dan golongan yang memerlukan sempena hari raya Qurban.
    4. Menyemai dan menanam sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran dan ketakwaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan cinta mereka kepada Allah S.W.T.

    Antara lembu yang menjadi pilhan Madrasah Hashimiah
    Di dalam hadis baginda yang menyatakan tentang kebaikan Qurban, "tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya Qurban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (menyembelih qurban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku, dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang Qurban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berQurban itu". (Riwayat Imam at-Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim). Ini adalah antara hadis yang menyatakan kebaikan ibadah Qurban di mana mereka yang melakukannya akan mendapat manfaat di hari akhirat kelak. Selain itu, melakukan ibadah Qurban di tempat golongan yang memerlukan akan membantu meringankan beban mereka seperti kita bersedekah kepada mereka kerana dapat meringankan beban kehidupan yang dialami. Seperti dalam firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Hajj ayat 36-37, "maka makanlah sebahagiannya (daging Qurban) dan berilah makan berilah makan kepada orang yang merasa cukup dengan apa yang dimilikinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Daging-daging Qurban dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan kamulah yang dapat mencapainya".

    Dalam melakukan ibadah Qurban, keikhlasan dan cinta kepada Allah adalah sesuatu yang dituntut ketika melaksanakannya. Antara fadhilat yang boleh diperolehi semasa melakukan ibadah Qurban ialah:

    1. Keampunan daripada kerana titisan darah qurban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. Imran bin Hushain R. A bersabda kepada Sayyidatina Fatimah R. A.: meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang Maksudnya: “Wahai Fatimah, pergilah ke tempat (penyembelihan) qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.”(Hadis riwayat al-Hakim).
    2. Kebajikan yang dikurniakan kepada orang yang berqurban adalah sebanyak bulu binatang yang diqurbankan. Zaid bin Arqam R. A. meriwayatkan: Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah S.A.W. bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada qurban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.”(Hadis riwayat Ibnu Majah).
    3. Darah qurban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah S.W.T. A’isyah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban). Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah qurban itu sebelum darah binatang qurban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah qurban kamu.”(Hadis riwayat at-Tirmidzi).

    Oleh yang demikian, ibadah Qurban sangatlah dituntut dan sangat disukai oleh Rasulullah S.A.W. yang dapat membantu menghapuskan dosa, melembutkan hati, dan juga meningkatkan ketakwaan serta cinta kepada Allah S.W.T. Banyak kelebihan yang boleh diperolehi daripada hasil melakukan ibadah Qurban. Madrasah Hashimiah menawarkan khidmat untuk penyertaan kepada ibadah Qurban kepada individu-individu yang ingin melakukan ibadah yang sangat terpuji ini. Satu bahagian bersamaan dengan RM750.00 dan pembayaran boleh di lakukan melalui CIMB Bank No. Akaun (8600 2028 64)  MadrasahHashimiah dan  Maybank No.Akaun (5621 5141 9729).  Untuk penyertaan bolehlah menghubungi Ustaz Hashim (019-2621 671) atau email (mhashimiah@gmail.com) atau telefon pejabat (03-6127 5582/ 018-288 2754). Bersama-samalah kita mengimarahkan hari raya Qurban.

    Mohamad Fazlan Bin Mohamad Ashraf 
    Penolong Pegawai Tadbir 
    Madrasah Hashimiah